POLIS sedang mengesan semua individu termasuk pemilik video ‘dashcam’ berhubung rakaman kes kanvas lori terbang yang menyebabkan kemalangan di Jalan Puchong-Cyberjaya, Dengkil, pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata pihaknya menerima satu video viral mengenai kemalangan tersebut di Facebook ‘You Drive Like An Asshole (YDLAA)’.
“Semakan mendapati rakaman video tersebut menunjukkan satu kemalangan yang berlaku dalam daerah pentadbiran IPD Sepang KM 33.5 Jalan Puchong/Cyberajaya/Dengkil berhampiran susur menghala ke arah Kajang.
“(Rakaman) memaparkan kanvas dari sebuah lori tercabut dan terbang mengenai penunggang dan pembonceng motosikal terbabit yang berada di belakang lori tersebut.
“Ia mengakibatkan penglihatan penunggang terhalang dan hilang kawalan lalu berlanggar dengan sisi kanan sebuah treler yang berada di lorong sebelah kiri dan terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Azman berkata, sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh pihak terlibat dan satu laporan dibuat JSPT Sepang bagi memulakan siasatan.
“Kita dalam usaha mengesan pemilik video dashcam sedang dijalankan dan pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasi di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, tular rakaman video 43 saat memaparkan kanvas sebuah lori tertanggal dan melayang ke arah penunggang dan pembonceng motosikal yang kebetulan berada di belakang kenderaan terbabit.
Menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang tular, kanvas yang melayang itu membaluti badan dua individu yang sedang menaiki motosikal menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terlanggar tayar treler yang bergerak laju.
Kedua mereka terjatuh di jalan raya namun bernasib baik kerana selamat daripada kejadian yang tidak diingini. – Malaysiapost

