
PARTI Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) kekal utuh di bawah kepimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata khabar angin mendakwa bahawa parti itu diambil-alih pihak tertentu adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, IKATAN merupakan sebuah parti yang meraikan keahlian semua bangsa dengan membawa ideologi kebersamaan dan keluarga besar Bangsa Malaysia.
“Parti ini mengambil semangat kemerdekaan negara apabila semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit, bersatu hati dalam menuntut kemerdekaan negara dan memajukan negara setelah merdeka.
“Di saat kami meraikan ideologi Bangsa Malaysia, ini tidak memberikan “lesen” kepada mana-mana individu yang cuba menggunakan nama Bangsa Malaysia dalam mewujudkan parti baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, DPIM akan membuat bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sekiranya benar desas-desus bahawa seorang menteri menjadi presiden parti baharu, dinamakan sebagai Parti Bangsa Malaysia.
“Sebagai sebuah negara demokrasi, kita mesti meraikan parti-parti baharu yang ditubuhkan, selagi mereka memperjuangkan nasib rakyat.
“Namun, DPIM mengecam penubuhan parti baharu yang mahu memanjangkan hayat politik seseorang politikus demi kepentingan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, IKATAN akan terus menyokong kerajaan hari ini selagi isu-isu rakyat diberikan keutamaan oleh Kerajaan.
“IKATAN juga akan terus memperjuangkan suara hati rakyat dan menegur Kerajaan sekiranya ada kelompongan. Ingatlah, IKATAN membawa suara rakyat demi kemakmuran negara tercinta,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Shahir Adnan
