JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan lima ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuatkuasa waktu Maghrib, hari ini.
Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ketetapan baharu ini dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, terdapat lima ketetapan iaitu pertama, penjarakan fizikal antara jemaah dikurangkan daripada 1.5 meter kepada 1 meter.
“Kedua, dibenarkan kepada warganegara asing yang telah mendapat vaksin lengkap untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.
“Ketiga, dibenarkan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke atas yang telah mendapat vaksin lengkap untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.
“Keempat, dibenarkan kepada murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.
“Kelima, dibenarkan Majlis Sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah dan lain-lain majlis sosial untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.- Malaysiapost

