KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan terdapat remaja tidak mematuhi temujanji dos kedua sejak seminggu lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata keadaan itu sekali gus menyebabkan unjuran 80 peratus kelompok itu lengkap divaksin pada 11 November ini tidak dapat dicapai.
Dr Noor Azmi berkata, berdasarkan pemantauan unjuran janji temu dos kedua yang terkini, sasaran tersebut hanya akan tercapai pada akhir bulan November atau awal bulan Disember 2021.
Justeru, katanya, sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak memastikan anak mereka menerima dos kedua, risiko untuk kumpulan remaja ini dijangkiti Covid-19 adalah lebih tinggi berbanding individu yang telah menerima dos lengkap.
“Situasi ini pastinya akan memberi kesan kepada pembukaan semula sekolah dan juga pembukaan semula sektor ekonomi di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada semua ibu bapa dan penjaga untuk mematuhi janji temu dos kedua anak supaya mereka dapat dilindungi daripada jangkitan Covid-19.
“Bagi ibu bapa yang terpaksa menjadualkan janji temu dos kedua, anda boleh hubungi pihak sekolah supaya janji temu baharu dapat diberikan.
“Manakala, ibu bapa yang tidak dapat hadir, dimohon mewakilkan seorang individu dewasa bagi mengiringi anak-anak untuk menerima vaksin Covid-19 dengan mengisi Surat Perwakilan Ibu bapa/Penjaga yang boleh didapati daripada sekolah anak masing-masing,” katanya.
Dr Noor Azmi berkata, KKM turut memahami ada dalam kalangan ibu bapa yang bimbang anak mereka akan mendapat kesan sampingan seperti alahan.
“Bagaimanapun, ingin saya tekankan bahawa kesan sampingan yang serius adalah amat jarang berlaku dan dengan rawatan awal, remaja akan pulih sepenuhnya.
“Saya memohon ibu bapa untuk mengiringi anak-anak ke janji temu vaksinasi yang telah ditetapkan demi melindungi anak-anak remaja.
“Meskipun sektor ekonomi dan sosial telah dibuka semula, dan keadaan semasa semakin bertambah baik, ibu bapa harus sedar bahawa risiko jangkitan Covid-19 masih tinggi lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang belum melengkapkan vaksinasi mereka.
“Tidak ada siapa yang selamat hingga semua orang selamat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, seramai 2,622,306 (83.3%) remaja telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 2,197,961 (69.8%) telah menerima dos 2, setakat semalam.
Negeri yang mempunyai pencapaian dos kedua tertinggi adalah Melaka (88.6%), Perlis (87.8%), Pulau Pinang (83.7%) , Kedah (81%) dan Terengganu (80.9%). – Malaysiapost

