JUMLAH mangsa banjir di Kedah kembali meningkat dengan 823 mangsa daripada 232 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat jam 8 pagi tadi.
Semalam, seramai 793 mangsa daripada 221 keluarga ditempatkan di dua PPS daerah Pendang, lapan di daerah Kota Setar dan dua di daerah Kubang Pasu.
Ketua Bahagian Sekretariat Bahagian Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof, berkata jumlah mangsa di daerah Pendang kekal seperti semalam.
“Seramai 225 mangsa daripada 54 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan 68 mangsa daripada 22 keluarga di PPS Dewan Cenderawasih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Muaz berkata, di daerah Kota Setar iaitu dua PPS di Pokok Sena jumlah mangsa masih sama iaitu 26 mangsa daripada lapan keluarga di PPS Surau Kampung Permatang Limau dan 22 mangsa daripada enam keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang.
“Di daerah Kota Setar juga terdapat dua PPS yang baru dibuka pada jam 8 malam semalam iaitu PPS SK Convent seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga dan 75 mangsa daripada 26 keluarga di PPS SK Titi Gajah.
“Di empat PPS lain jumlah juga masih kekal iaitu 80 mangsa daripada 23 keluarga di PPS SK Langgar, 67 mangsa daripada 25 keluarga di PPS SK Suka Menanti, 118 mangsa daripada 32 keluarga di PPS SK Darul Hikmah dan 33 mangsa daripada lapan keluarga di PPS SK Haji Wahab,” katanya.
Sementara itu, di PPS di Kubang Pasu iaitu PPS SK Dewan Kampung Tradisi, Lebah Keriang masih menempatkan 72 mangsa daripada 20 keluarga dan PPS SK Malau seramai 28 mangsa daripada lima keluarga. – Malaysiapost
Kredit Foto: Utusan Malaysia

