PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin isu pengeluaran wang simpanan KWSP sebanyak RM10,00 yang tidak dipenuhi kerajaan tidak akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, rakyat mengetahui siapa sebenar yang memperjuangkan tuntutan berkenaan dan tidak akan menyalahkan pihak yang telah dan sedang berusaha membantu mendapatkan pengeluaran wang KWSP seterusnya.
“Kita faham ada pihak gembira menyaksikan rakyat kecewa kerana tidak dapat membuat pengeluaran wang simpanan KWSP sebanyak RM10,000.
“Mereka fikir keadaan itu akan memberi manfaat politik buat mereka dalam berdepan PRN Melaka tidak lama lagi.
“Tanpa mereka sedari tahap kecaknaan majoriti rakyat Malaysia termasuk orang Melaka yang akan mengundi pada 20 November ini tidak sama seperti tiga tahun lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 telah mengajar rakyat untuk meneliti setiap keadaan dan menilai apa yang sebenar di sebaliknya.
Menurutnya, rakyat kini tahu maklumat manakah yang disampaikan kepada mereka mengenai sesuatu perkara adalah fakta dan maklumat manakah yang bersifat ‘auta’.
“Dalam isu dana KWSP, mereka tahu pihak manakah yang sebelum ini mendesak kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan wang KWSP semasa dalam kesusahan akibat Covid-19.
“Mereka juga tahu pihak manakah yang sentiasa berusaha memberi alasan demi alasan untuk menafikan hak mereka mendapatkan wang berkenaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pada hari ini rakyat tahu pihak manakah yang terus mendesak pengeluaran wang KWSP sebagai usaha membantu kelangsungan hidup rakyat.
“Maka mengapa perlu mereka menyalahkan pihak yang telah dan sedang berusaha membantu mereka mendapatkan pengeluaran wang KWSP seterusnya?
“Keadaan itu sebenarnya satu lagi bukti mengapa rakyat perlu memastikan BN dapat membentuk semula sebuah kerajaan yang teguh.
“Supaya dapat meneruskan apa sahaja agenda dan perancangan membantu kesejahteraan hidup rakyat secara mutlak tanpa terikat dengan pihak yang bercanggah. Insya-Allah segala-galanya akan bermula di Melaka,” katanya. – Malaysiapost

