Kajian klinikal dapati Ivermectin tidak disyorkan untuk rawatan Covid-19

0
1

PENGGUNAAN Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 tidak disyorkan kerana kajian yang dijalankan mendapati ubat berkenaan tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

Analisis keselamatan juga mendapati kesan sampingan ubat berkenaan adalah tiga kali lebih kerap berlaku, di mana kebanyakannya adalah membabitkan kes cirit birit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu berdasarkan hasil kajian Ivermectin (I-TECH) yang diumumkan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH) hari ini.

Menurutnya, kajian I-TECH dibuat ke atas 500 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan kategori dua atau tiga.

“Kajian klinikal open-label randomised trial tersebut menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) beserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan hanya penjagaan standard (kumpulan standard of care – SOC).

“Kajian percubaan klinikal tersebut telah dijalankan oleh pakar perubatan penyakit berjangkit dan pakar perubatan yang terlibat secara aktif dalam pengurusan Covid-19 dengan kerjasama ICR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil utama kajian I-TECH adalah untuk melihat sama ada pemberian ubat Ivermectin pada minggu pertama pesakit mengalami gejala penyakit Covid-19 berupaya mencegah kemerosotan penyakit kepada tahap yang teruk di kalangan pesakit berumur 50 tahun dan ke atas serta mempunyai sekurang-kurangnya satu komorbiditi.

“Berdasarkan hasil kajian I-TECH, Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

“Diharapkan dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19,” katanya.

Beliau memaklumkan kajian yang telah dijalankan oleh KKM itu mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan pada 25 Mei 2021 dan telah didaftarkan di ClinicalTrials.gov pada 31 Mei 2021 (NCT04920942).

“Daripada 500 subjek yang didaftarkan dalam kajian ini, seramai empat individu telah dikecualikan kerana tidak memenuhi kriteria kajian, manakala enam individu telah menarik diri atas sebab kebimbangan terhadap kesan sampingan Ivermectin.

“Subjek terakhir direkrut pada 9 Oktober 2021 dan penilaian susulan terakhir adalah pada 25 Oktober 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here