Rakyat menderita, menteri dapat kenderaan baru – Sim Tze Tzin

0
2
https://www.facebook.com/photo?fbid=10159550255154222&set=pcb.10159550263634222

AHLI Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mempersoalkan tindakan kerajaan menyediakan kemudahan kenderaan rasmi baharu jenis Toyota Vellfire kepada semua menteri ketika rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kemudahan yang membabitkan kos sebanyak RM5,759.35 sebulan bagi setiap kenderaan terbabit diberikan kepada menteri ketika rakyat sedang kehilangan kerja, syarikat lingkup dan kes bunuh diri menjadi-jadi pada tahun ini.

“Bajet 2022 dilihat kononnya sangat mesra rakyat. Sebagai contoh orang muda dapat e-wallet RM150 dan penjawat awam pula mendapat RM700 secara one-off.

“Rakyat pasti bergembira kerana menerima bantuan tersebut. Namun di sebalik pemberian saguhati kepada rakyat ini, tanpa disedari, menteri-menteri sebenarnya dapat menikmati bantuan yang paling banyak.

“Mereka mendapat ‘bantuan kereta Vellfire’ sebanyak RM5,759.35 sebulan. Tahniah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi jawapan daripada Menteri Kewangan atas soalannya berhubung perbelanjaan kerajaan menyediakan kereta rasmi kepada menteri-menteri dan berapa kos sewaan bulanan daripada syarikat konsesi sebulan.

Menurutnya, perkara itu berlaku sejak April lalu, di mana hutang negara telah mencecah sehingga RM1.3 trilion dan hutang kerajaan pula mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Adakah kemewahan ini satu keperluan? Mereka ini yang dulu lantang membantah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertimbangkan cadangan untuk menukar kereta.

“Sekarang mereka seronok menikmati kemudahan ini tanpa perasaan segan silu. Segala bantahan dulu nampaknya telah dicurahkan ke laut Selat Melaka.

“Paling nyata, Najib (BN-Pekan) yang lantang membantah kerajaan PH, sekarang membisu seribu bahasa,” sindirnya.

Beliau mengingatkan rakyat memerhati pendirian dan karenah kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PAS ini sebelum dan selepas mendapat kuasa.

Sementara berdasarkan jawapan bertulis yang diterimanya, kerajaan telah memulakan proses penggantian kereta rasmi menteri-menteri daripada Proton Perdana 2.4L kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April 2021.

Turut dimaklumkan, kerajaan membayar kos pajakan bulanan sebanyak RM5,759.35 yang terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.

Sehingga September lalu, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Sim Tze Tzin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here