Hukuman terhadap 18 penuntut, peringatan buat warga UPNM, ATM – Hishammuddin

0
3

HUKUMAN yang dikenakan kepada 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah atas kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, adalah pengajaran dan peringatan terutama warga institusi itu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata warga UPNM dan ATM jangan mengulangi perbuatan keji itu serta beliau tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman.

“Kematian Allahyarham Zulfarhan empat tahun lalu amat mendukacitakan.

“Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 Pegawai Kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK. Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas dari undang-undang.

“Semalam keadilan ditegakkan yang mana pesalah telah dijatuhi hukuman,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu, Hishammuddin turut memuat naik gambar ketika melawat keluarga Allahyarham Zulfarhan beberapa hari selepas kejadian itu berlaku pada tahun 2017.

“Semoga mereka sekeluarga terus tabah dan roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat,” kata Hishammuddin.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah memutuskan 18 UPNM didapati bersalah atas tuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan lebih empat tahun lalu.

Enam tertuduh dipenjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan

Sementara itu, 12 lagi penuntut UPNM dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana cederakan Allahyarham. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here