‘Dasar kabotaj tidak kekang pelaburan masuk’ – Ka Siong

0
2

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan dasar kabotaj yang dilaksanakan kerajaan tidak mengekang kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

Sebaliknya, beliau berkata, ia bertujuan memelihara kedaulatan negara dan melindungi industri perkapalan tempatan.

Katanya, dasar itu banyak memberi manfaat dan menguntungkan negara, malah ia turut diamalkan di 90 negara seluruh dunia.

“Malaysia memulakan dasar kabotaj pada 1980 dan negara anggota ASEAN turut melaksanakan perkara sama bagi melindungi kepentingan masing-masing.

“Ini bagi mengelak wujudnya keadaan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’, maka kita perlu menjaga kepentingan rakyat tempatan.

“Saya dituduh kononnya menyebabkan pelabur tidak masuk ke Malaysia sehingga menyebabkan kerugian sedangkan dasar kabotaj kita tidak mengekang pelaburan asing. Kekeliruan yang dilemparkan oleh Yang Berhormat (Lim Guan Eng) tidak dapat dibuktikan.

“Pemilik kata tidak membawa masalah dan dari segi kesalinghubungan juga tidak ada isu. Kita lihat apabila kabel (dasar laut) terputus, tidak ada isu timbul kerana yang membaikinya adalah (syarikat) Apricot. Mereka ini pun saya rasa tidak isu dengan kita.

“Apa yang menjadi masalah ialah golongan yang ‘menjaga tepi kain orang’ dan mereka bukanlah pemilik sah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sesi debat dengan Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP mengenai Dasar Kabotaj yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ka Siong menjelaskan, syarikat Apricot mempunyai rancangan baharu membawa satu kabel dinamakan Intra Asia Cabel Express ke Malaysia melalui Sabah dan Sarawak.

Perkembangan itu, tegasnya, dengan sendirinya menguntungkan Malaysia.

“Apakah ini tidak menguntungkan? Ini agenda MyDigital yang kita idam-idamkan. Itu sebabnya Kementerian Pengangkutan rasa tepat untuk kita membawa pelaburan masuk.

“Saya akan bawa mereka berjumpa dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kita.

“Kata orang, kita akan buat sampai kata putus yang paling cepat. Kita beri sokongan pada mereka, sebab itu janganlah menuduh, ini bukti kita tidak mengekang pelaburan asing,” katanya.

Ka Siong menegaskan, perkara itu harus dilihat dalam kerangka yang lebih luas iaitu dengan menghormati pandangan semua syarikat gergasi tetapi perlu dicari pemiliknya.

Jika pemilik syarikat mengatakan mahu datang ke Malaysia, beliau menjelaskan, ia bermaksud mereka memiliki keyakinan terhadap apa juga dasar yang diputuskan pentadbiran.

Pada April 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan dasar itu yang mengecualikan kapal yang terbabit dalam kerja pembaikan dan penyelenggaraan kabel dasar laut daripada memohon lesen perkapalan domestik.

Pada 16 November tahun lalu, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan semula dasar kabotaj.

Ketika ini, dasar itu tidak melarang kapal berbendera asing daripada membaiki kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Bagaimanapun, kapal asing dibenarkan memasuki perairan Malaysia dengan hanya perlu memohon lesen domestik elektronik (eDSL) dan mengambil masa satu hingga tiga hari sebelum diluluskan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here