VETERAN DAP Lim KIt Siang menyatakan tidak berpuas hati dengan Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu dan menganggapnya membelakangi konsep serta objektif Keluarga Malaysia.
Menurutnya, belanjawan itu dilihat sebagai sindrom penafian di mana kerajaan enggan berdepan hakikat bahawa Malaysia telah tewas melawan Covid-19, terutama dari hari pertama pelaksanaan darurat pada 11 Januari lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak akan menyokong meluluskan Bajet 2022 dengan mengambil pendirian berkecuali.
“PH menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tujuan tidak menyokong undi tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri atau menolak Bajet 2022.
“Kami akan terus tetap berpegang kepada kata-kata kami dan memenuhi janji-janji kami.
“Kami tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyokong Bajet 2022. Jika kami tidak menyokongnya, maka itu bermakna kami mengambil pendirian untuk berkecuali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut berkongsi luahan penyokong DAP mengenai Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz di Parlimen pada Jumaat lalu.
Menurutnya, penyokong berkenaan meminta DAP mengundi untuk menolak Bajet 2022 kerana merasakan peruntukan besar diberi kepada orang Melayu, manakala kaum lain sebaliknya.
Kit Siang berkata, penyokong itu turut menyatakan kerajaan seolah-olah tidak peduli terhadap undi daripada pengundi Cina dan jika PH memilih untuk menyokong belanjawan tersebut, penyokong itu mengugut untuk tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Terdapat kekeliruan dan salah faham berkenaan MoU antara Perdana Menteri dengan kepimpinan PH.
“Satu pihak percaya bahawa Ismail Sabri telah mengkhianati parti-parti dalam kerajaan dan satu pihak lagi pula percaya bahawa keempat-empat pemimpin PH telah menggadaikan prinsip dan objektif parti komponen PH.
“Kedua-duanya salah. MoU itu adalah tentang mencari kompromi antara kedua-dua belah pihak berkenaan beberapa perkara dan bukannya untuk menegakkan tuntutan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

