MARA, CIDB bekerjasama tingkat kapasiti kontraktor IBS Bumiputera

0
1

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan daya saing kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata melalui MoU berkenaan CIDB akan membantu MARA dalam menyediakan program pembangunan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Beliau berkata program berkenaan akan mempunyai struktur yang komprehensif dalam membangunkan rantaian bekalan IBS.

“MARA sentiasa mencari ruang dan peluang bagi memastikan graduan lepasan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) serta pelatih Giatmara dalam bidang seni bina dan teknologi bangunan menjadi modal insan yang kompeten di pasaran pekerjaan.

“Justeru, kerjasama bersama CIDB merupakan satu kolaboratif industri yang tepat dalam memacu pembangunan industri pembinaan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis MoU berkenaan bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di ibu negara, hari ini.

MoU tersebut ditandatangan oleh Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Mahdzir berkata, CIDB dan MARA akan bekerjasama membangun dan memudahcara usahawan IBS, melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) IBS.

Beliau berkata, MARA mensasarkan sebanyak lapan vendor dapat dibangunkan yang terdiri daripada usahawan Bumiputera MARA.

“MARA akan menyediakan latihan keusahawanan berkaitan pengurusan, kewangan dan pemasaran selain memberi khidmat nasihat, pembiayaan perniagaan serta menyediakan premis perniagaan bersesuaian dengan keperluan penggiat industri.

“Bagi menyokong kelangsungan kontraktor Bumiputera, MARA menyediakan skim kemudahan pembiayaan khas melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE),” katanya.

Menurutnya, SPiKE adalah kemudahan pembiayaan kewangan jangka pendek yang disediakan kepada kontraktor bumiputera melibatkan aktiviti pembinaan, pembekalan, perkhidmatan dan elektrik.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), seramai 2,860 usahawan dan kontraktor telah menerima latihan peningkatan.

“Bagi tempoh 2016 sehingga 2020, seramai 11,000 usahawan atau kontraktor telah menerima manfaat dengan nilai sebanyak RM1.42 bilion,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here