PERKEMBANGAN semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dipantau rapat oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi walaupun beliau kini berada di Jerman bagi menerima rawatan kesihatan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dia dimaklumkan bahawa seluruh jentera, ahli, penyokong dan pemimpin Umno sudah siap siaga serta penuh semangat bagi menghadapi proses demokrasi berkenaan.
“Alhamdulillah walau terpaksa ke luar negara untuk menjalani rawatan, saya sentiasa memantau dan mengikuti rapi segalanya.
“Insya-Allah perjuangan rakan-rakan semua akan beroleh kejayaan demi menjulang kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka.
“Dari kejauhan saya kirimkan doa mengiringi hasrat murni kita semua demi rakyat dan tanah air tercinta,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada yang bertanya khabarnya di luar negara.
“Kepada yang bertanya, Alhamdulillah saya dan isteri dalam keadaan baik. Jutaan terima kasih kerana mengambil berat dan mendoakan kami.
“Semoga rakan-rakan dapat mendoakan agar urusan rawatan saya di sini dipermudah dan berjalan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengambil maklum mengenai fenomena air pasang besar yang diramal dari 4 hingga 7 November ini yang turut dijangka membabitkan kawasan Bagan Datuk.
“Saya menyeru kepada seluruh penduduk Bagan Datuk serta kawasan terlibat agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya untuk menghindari bahaya.
“Bagi pihak yang berkenaan, kesiapsiagaan bagi menghadapi situasi ini hendaklah sentiasa bersedia dengan peralatan dan kemudahan yang lengkap.
“Kenal pasti kawasan yang berisiko tinggi dan ambil langkah awal bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya yang mendoakan semua sentiasa berada dalam keadaan selamat. – Malaysiapost

