Ibu Zulfarhan alami katarak serius kerana kerap menangis

0
1

IBU kepada penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, mengakui trauma mengenangkan anaknya menjadi korban jenayah buli.

Menurut Hawa Osman, ketika memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak dapat menahan rasa sedih atas kehilangan anak sulungnya empat tahun lalu.

Katanya, kematian Zulfarhan yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu cukup memberi kesan yang mendalam kepada dirinya dan keluarga, lapor Malaysia Gazette.

Bukan sahaja kesihatannya terjejas malah tertekan kerana sering bersedih setiap kali mengenangkan Allahyarham.

“Saya alami katarak serius kerana sering menangis. Saya mengalami kesedihan berpanjangan kerana arwah lambang kasih sayang saya dan suami dalam membina keluarga kami.

“Kesihatan saya terjejas daripada 2017. Ekoran kejadian serta darah tinggi kerana tidak dapat tidur malam,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Azman Abdullah.

Berikutan tragedi hitam itu, Hawa berat mahu melepaskan tiga anaknya yang lain untuk menyambung pelajaran.

“Kejadian ini menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak lain untuk berdikari sambil menyambung pelajaran peringkat tertiggi kerana bimbang perkara ini berulang sekali kali,” katanya.

Dalam masa sama, Hawa berkata beliau menaruh harapan kepada Allahyarham Zulfarhan sebagai anak sulung yang akan menjaga dirinya dan suami selain membiayai adik-adiknya untuk menyambung pelajaran.

“Arwah anak sulung yang mana sepatutnya ketika ini arwah yang akan membantu keluarga membiayai adik-adik lain menyambung pelajaran kerana ayahnya sekarang pemandu teksi dan saya hanya kerani.

“Kami berdua menanam impian arwah akan menjaga kami di usia tua,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 penuntut UPNM didapati bersalah atas tuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, lebih empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan itu hari ini berkata, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh mangsa.

Manakala 12 yang lain didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Zulfarhan. – Malaysiapost

Hawa Osman, ibu kepada Zulfarhan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here