Daripada mana datang lebihan RM98 bilion, soal Tun M

0
2
Tun Dr Mahathir Mohamad

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan persoalan bagaimana Bajet 2022 boleh diperuntukkan dengan nilai lebih besar daripada pendapatan yang diperoleh negara.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mempersoal daripada manakah kerajaan boleh mencari lebihan RM98 bilion untuk menampung Bajet 2022 yang bernilai 332 bilion.

“Jumlah Bajet 2022 adalah yang terbesar dalam sejarah negara. Sebanyak RM332 bilion akan dibelanja. Satu rekod. Tetapi pendapatan kerajaan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM234 bilion. Dari manakah lebihan RM98 bilion akan datang?

“Kemungkinan besar ialah kerajaan akan berhutang RM98 bilion. Kita sedang menanggung hutang lebih dari RM1 trilion. Dengan hutang baru, hutang kita akan meningkat lagi,” katanya dalam perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir juga mempersoalkan keupayaan negara untuk membayar balik hutang negara yang mungkin mengambil masa puluhan tahun untuk dilangsaikan.

“Kenaikan siling kepada 65 peratus tidak akan mengurangkan hutang yang perlu dibayar sehingga puluhan tahun, yang turun hanya peratusan daripada GDP, jumlah hutang tidak kurang,” katanya.

Terdahulu pada awal perbahasan, Dr Mahathir menyindir kerajaan yang memberikan peruntukan besar kepada rakyat dalam Bajet 2022 akan memberi kemenangan kepada parti kerajaan jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.

“Selama satu jam saya mendengar bagaimana kerajaan akan curah wang dengan banyaknya kepada sesiapa sahaja.

“Saya tak dapat tunggu sampai tamat ucapan, tetapi sehingga tamat ucapan tidak ada sesiapa yang tertinggal. Semua dapat peruntukan yang bertambah.

“Pada keeseokan hari, akhbar mempamerkan wajah rakyat Malaysia yang tersenyum gembira. Saya percaya jika PRU diadakan lusa, parti-parti kerajaan akan menang besar,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here