Kolaborasi MARA-TalentCorp wujud peluang pekerjaan bagi graduan IPMA

0
2

MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi memperkukuh usaha dalam membangunkan modal insan kompetitif.

Kolaborasi itu bagi menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara khususnya graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA.

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di ibu negara hari ini.

Mahdzir berkata, sinergi antara dua agensi itu menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA, terdiri pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta di bawah tajaan pelajaran MARA.

“Kedua-dua pihak juga akan merangka program-program khas bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan MARA bagi memastikan graduan dapat memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran tinggi di alam pekerjaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas Mahdzir, TalentCorp yang bertindak sebagai penghubung antara MARA dan pihak berkepentingan dalam jaringan mereka akan menawarkan inisiatif program sedia ada.

Antaranya, program Nurturing EXpert Talent (NEXT), Structured Internship Programme (SIP), Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan di bawah MARA.

Mahdzir berkata usahasama antara kementerian dalam agenda pembangunan bakat ini merupakan satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada graduan untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan.

“Saya percaya kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan MARA dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan ruang kerjaya lebih signifikan dengan peluang lebih baik ditawarkan kepada pelajar MARA,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata TalentCorp bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju.

“Usaha TalentCorp dipacu kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada tiga penawaran khidmat utama iaitu Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.

“Manakala MARACorp merupakan syarikat induk milik MARA yang bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan peluang pemilikan ekuiti serta memastikan peningkatan penjanaan pendapatan syarikat subsidiari di bawahnya dalam memberikan pulangan pelaburan yang baik dan konsisten kepada MARA,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here