
[PARLIMEN] MALAYSIA menempah sebanyak 87.9 juta dos vaksin melalui Fasiliti COVAX dan secara rundingan terus dengan beberapa pengeluar vaksin Covid-19 setakat ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata tempahan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM4.64 bilion merangkumi kos dan logistik vaksin.
Beliau berkata perincian perolehan vaksin Covid-19 adalah AstraZeneca melalui Fasiliti COVAX sebanyak 6.4 juta dos, Pfizer & BioNTech (44.8 juta dos) dan AstraZaneca/University of Oxford (6.4 juta dos).
“Selain itu, Sinovac membabitkan 20.4 juta dos, CanSino (3.5 juta dos) dan Gamaleya (Sputnik V) sebanyak 6.4 juta dos,” katanya menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy berkata demikian ketika menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta kerajaan memperincikan jumlah kos dibelanjakan bagi perolehan vaksin Covid-19. – Malaysiapost
