Umno tidak pernah tolak penyatuan

0
1

Razlan Rafii

PENYATUAN! Perkataan ini amat terkesan sekiranya digunakan kepada kumpulan yang “dikatakan” menolak penyatuan.

Perlu diberi penjelasan, sekiranya tidak, ramai yang mempergunakan perkataan ini untuk menarik sokongan kepada hala tuju yang terpesong.

Umno tidak pernah memungkiri janji dalam melaksanakan dasar parti, sentiasa berpegang kepada keputusan mesyuarat yang diambil, apa sahaja gerakan malah desakan sebelum keputusan diambil, ia adalah optik politik untuk mencapai sesuatu kehendak, namun ketetapan parti adalah keputusan yang akan diambil menjadi dasar dan hala tuju.

Disiplin mengikut keputusan Majlis Tertinggi parti sering kali menjadi cakap-cakap di luar, ada yang mengambil keputusan sendiri dan pemahaman sendiri untuk mencapai kehendak kumpulan-kumpulan tertentu, ini menyukarkan lagi pemahaman akar umbi, lebih buruk lagi, tafsiran berbeza-beza.

Sejarah jangan kita lupa. Ada beberapa peristiwa besar terjadi semasa BN tidak menjadi kerajaan, ICERD, Statut Rom dan Penjualan Hartanah Tabung Haji adalah sebahagian contoh yang membawa kepada kebangkitan orang Melayu demi menjadi tiang seri negara tercinta.

Umno dan PAS serta NGO Melayu bangkit menjadi “Presure Group” untuk memastikan Kerajaan PH tidak melakukan khianat kepada Perlembagaan Negara.

Ini semua rupanya telah menjadi intipan oleh kumpulan kecil Melayu di dalam PPBM (Bersatu), mereka mengintai dan membuat gerakan memecah belahkan PH dari dalam, malah mereka mempengaruhi kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk terus bergaduh untuk mengkhianati sesama sendiri, hanya untuk kuasa.

Kumpulan PPBM dan Azmin, Zuraida tahu sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka akan dijadikan kumpulan “melukut di tepi gantang” kumpulan yang akan diketepikan dalam pentadbiran Anwar.

Lalu pengkhianatan demi pengkhianatan terus dilakukan, memanipulasi Tun Mahathir untuk terus berkuasa.

Dalam Umno dan PAS ketika itu sudah pasak diri untuk terus bersetia bersama demi mempertahankan kesucian Perlembagaan Negara, jangan kita lupa, ICERD adalah ciptaan PH dan Menterinya adalah Saifuddin Abdullah, salah seorang yang sedang berada dalam kumpulan yang melompat dan sekarang menjadi Menteri Luar semula, mana mungkin ia terjadi sekiranya “niat” suci mereka untuk melihat tiang seri negara dijaga! Ia tidak lain tidak bukan hanya mahukan kuasa.

Umno dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional demi perjuangan ikhlas untuk melihat Melayu itu tidak berpecah lagi, menjaga bersama tiang seri Perlembagaan Negara demi untuk merampas semula kepimpinan negara ini secara bersama, MIC dan MCA serta Sarawak juga sudah bersetuju untuk terus memperkuatkan parti bagi menghadapi PRU15.

BN dan PAS tidak mempunyai niat untuk menubuhkan kerajaan bersama PPBM. Rombongan Ahli Parlimen BN dan PAS naik bas dua tingkat ke Istana untuk meminta Parlimen dibubarkan.

Kita merancang, mereka juga merancang, melihat kebangkitan ini, kumpulan PPBM dan serpihan PH terus menggunakan “kuasa” untuk mempengaruhi Ahli-Ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan, ketika itu untuk menggagalkan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri.

Umno melalui Majlis Kerja Tertinggi memutuskan memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen melaksanakan langkah terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat. Ketika itu jalan terbaik adalah untuk memilih Tan Sri Muhyddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi mentadbir Negara sementara sebelum diberi semula mandat kepada rakyat memilih, tiada perjanjian politik antara parti selain mewujudkan kerajaan!

Marathon politik, masa yang amat panjang sekali sekiranya menjadi ahli politik ketika ini, saban hari ada sahaja pandangan dan borak politik yang dicatur banyak pihak, yang tidak mendapat jawatan merajuk, yang pegang kuasa pula sibuk mencampuri hal dalaman parti, yang di luar parti sibuk mencatur kekuatan, ramai sudah terlupa asas kenapa kita bangkit bersama ketika kita kalah.

Umno terus kekal untuk memperkuatkan Muaafakat Nasional bersama PAS, Umno tidak pernah menolak penyatuan demi kebaikan Ummah, Umno terus bersetia dengan memastikan Muaafkat Nasional itu terus bergerak dalam kalangan orang Melayu di kampung-kampung.

Akibat kuasa dan permainan segelintir mereka yang berkuasa, pertalian Muaafakat Nasional ini terus dicemari dengan lakonan baik PPBM. Masa depan orang Melayu terus dijadikan taruhan. Tidak lagi wujud semangat perjuangan jitu.

PRN Melaka. PPBM bukan mahu menang di Melaka, mereka mahu melihat Umno dilemahkan di Melaka, mereka sudah meletakkan asas kerusi yang tidak akan diterima oleh BN di Melaka.

PPBM mahu lapan Kerusi untuk bertanding, belum masuk lagi PAS dan Gerakan. PPBM mahu bertanding di Masjid Tanah dan Jasin (kerusi kuat Umno). Stretegi ini memang sengaja dibuat kerana mereka tahu, ini adalah permintaan tidak masuk akal dan akan ditolak oleh Umno.

Lakonan baik PPBM ini ternyata sudah berjaya menggamit PAS untuk bertanding menggunakan logo PN.

Perancangan PPBM untuk menggantikan Umno tidak pernah luput dalam Grand Design mereka, mereka tidak khuatir dan fokus kepada kerja mereka, tujuan mereka menggantikan Umno bukan untuk PRN Melaka, tujuan mereka untuk menggantikan Umno semasa PRU15 nanti.

Umno tidak pernah penolak penyatuan, kita mesti terus dengan menjaga sempadan dan kesucian parti ini. Umno hanya mahu memberi yang terbaik kepada rakyat tanpa ada pengaruh pihak lain untuk melemahkan parti Umno, tidak akan wujud kestabilan politik sekiranya Melaka ditadbir dengan formula kuasa separuh-separuh.

Jangan kita lalui apa yang terjadi di Sabah sekali lagi, UMNO tidak pernah menolak penyatuan, malah ketika BN memerintah, logo BN menyatukan negara dari Sarawak hinggalah ke Johor. – Malaysiapost


Penulis ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here