AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi menafikan beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama seperti mana surat yang tular di media sosial hari ini.
Mohamaddin turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menandatangani sebarang surat bertarikh 30 Oktober berkaitan perkara berkenaan.
“Saya tidak ada hantar surat peletakan jawatan sebagai Adun bertarikh 30 Oktober 2021.
“Tarikh 30 haribulan itu hanya pengumuman saya meletakkan jawatan. Saya nafikan sekeras-kerasnya, saya tiada tandatangan surat bertarikh 30 hari bulan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian .
Mohamaddin turut memaklumkan, beliau menyedari mengenai surat yang ditularkan di media sosial itu, namun tidak mempedulikannya kerana tidak menandatangani surat itu.
“Saya sudah tahu sejak ditularkan tetapi saya tidak peduli kerana saya tiada tandatangan,” katanya.
Terdahulu, tular surat peletakan jawatan serta merta beliau sebagai Adun Segama.
Surat yang kononnya ditandatangani Mohamaddin menyatakan bahawa selaras dengan ikrar kesetiaannya kepada Parti Warisan Sabah (Warisan), beliau menyerahkan dan memaklumkan peletakan jawatan sebagai Adun dengan serta merta. – Malaysiapost

