PENGERUSI pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkuatkuasa hari ini.
Majlis ringkas penyerahan watikah pelantikan itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Profesor TS Dr Mohd Zamri Ibrahim.
Mohd Zamri berkata, pelantikan itu merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan atas pengalaman serta pengetahuan Dr Mustapha dalam aktiviti kesukarelawan, selain beliau juga mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara berdasarkan sumbangannya.
“Oleh itu pihak universiti berharap beliau dapat mencurahkan ilmu pengetahuan untuk kepentingan akademik universiti dan graduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada ahli Senat UMT yang meletakkan kepercayaan tinggi kepadanya.
“Saya akan cuba menyumbang sebaik mungkin pengetahuan dan pengalaman selama 22 tahun dalam NGO antarabangsa dan pengalaman 33 tahun dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Mustapha yang berasal dari Kuala Terengganu adalah penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul 1442H pada tahun lalu. Antara pengiktirafan tertinggi diterimanya ialah Anugerah Tokoh NGO Antarabangsa daripada Perdana Menteri Kemboja dan Kerajaan Arab Saudi.
Pengiktirafan itu diberi berdasarkan keprihatinan beliau dalam memberi bantuan kepada rakyat Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan Laos yang dilanda pandemik Covid-19.
Beliau memperoleh ijazah pertama dari Universiti Malaya dalam pengajian Sains Sosial kemudian menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Undang-Undang Antarabangsa Kehormat dari keajaan Kemboja.
Mustapha juga telah berkhidmat dalam pelbagai jabatan kerajaan selama 33 tahun, antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Wisma Putra dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta pernah dilantik sebagai penasihat ekonomi dan Ketua Eksekutif di Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc). – Malaysiapost
Kredit Foto: UMT

