Pekerja MASKargo KLIA ‘tali barut’ seludup dadah RM8.1 juta

0
2

DUA kakitangan MASkargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh dianggap sebagai tali barut dan pengkhianat kepada negara apabila bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah bernilai RM8.1 juta.

Mereka menggunakan modus operandi dengan mengisytiharkan lima kotak berisi dadah itu sebagai barangan elektronik untuk mengaburi penguatkuasa.

Bagaimanapun, usaha licik mereka bersama dua lagi rakan yang mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM8.1 juta akhirnya terbongkar selepas ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 22 hingga 26 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Razarudin Husain, berkata empat lelaki yang ditahan itu berumur antara 34 hingga 59 tahun mula aktif sejak pertengahan 2021.

“Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA telah membuat pemeriksaan pada 22 Oktober lalu pada jam 9.30 malam ke atas satu penghantaran barangan menggunakan MASkargo ke Auckland, New Zealand di pusat kargo KLIA.

“Penghantaran itu membabitkan lima kotak yang diisytihar sebagai barang elektronik dan hasil pemeriksaan berjaya merampas 200 kilogram dadah jenis syabu,” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki yang bekerja di MASKargo KLIA bersama dua rakan sindiket telah ditahan dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai sejuta orang penagih.

Razarudin berkata, kes penghantaran dadah tersebut adalah kali kelima ditumpaskan sepanjang tahun ini dengan kerjasama pihak keselamatan KLIA. – Malaysiapost

Kredit Foto: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here