KOMPAUN kesalahan tidak memakai pelitup muka kini lebih munasabah dan bukan lagi RM10,000 setelah kerajaan membuat satu garis panduan mengenainya Mac lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan kompaun RM10,000 dikenakan atas individu memakai pelitup muka di dagu sebelum itu adalah selaras ketetapan Ordinan Darurat yang menetapkan nilai tersebut bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Sambil berkongsi satu notis kompaun dikeluarkan pada 12 Mac lalu, Khairy menerusi ciapan di Twitter berkata, kompaun yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan Ordinan Darurat yang dikuatkuasa ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, pada 17 Mac kerajaan membuat satu garis panduan untuk penetapan nilai kompaun lebih munasabah.
“Kompaun RM10,000 kerana memakai mask di dagu dikeluarkan pada 12/3/21 selaras dengan ketetapan Ordinan Darurat ketika itu (max RM10k/person, RM50k/organisation).
“Pada 17/3/21 satu garis panduan untuk penetapan nilai kompaun yang lebih munasabah telah diumumkan,”katanya dalam ciapan itu.
Kenyataan Khairy dalam ciapan itu dikatakan menjawab persoalan dilontarkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman yang mempertikai kompaun ke atas seorang wanita warga asing semalam.
Menurut Syed Saddiq, kompaun RM3,000 ke atas wanita warga asing dikenali sebagai ‘Karen’ tidak setanding dengan kesalahan yang dia lakukan, namun sebaliknya jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang cuma meletakkan pelitup muka di bawah dagu pula dikompaun RM10,000.
Justeru, beliau menyifatkan situasi tersebut seperti layanan dua darjat antara warganegara dan bukan warganegara.
“Karen VVIP kena kompaun RM3,000 bila dua kali tak pakai mask. Siap lawan cakap lagi.
“Rakyat biasa letak mask dekat dagu kejap pun, kena RM10,000. Sampai bila rakyat nak hadap layanan dua darjat ni,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan Karen dikompaun RM3,000 bagi dua kesalahan di mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.
“Kesalahan pertama kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera di kawasan capaian Internet yang luas.
“Kesalahan kedua pula tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan apabila gagal memakai pelitup muka ketika berada di dalam premis,” katanya. – Malaysiapost

