PENGARAH dan pelakon popular, Syamsul Yusof, mempertikaikan sikap pihak tertentu yang dilihat memandang enteng berhubung isu pengeluaran arak jenama tempatan.
Menerusi hantaran di Instagramnya, suami kepada pelakon, Puteri Sarah Liyana itu, memuat naik satu tangkap layar komen seorang pengguna media sosial yang mendakwa Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan tidak sepatutnya hak bukan Islam dinafikan di negara ini.

Tidak bersetuju dengan pandangan itu, Syamsul berkata, hakikatnya individu berkenaan tidak memahami isu sebenar kerana apa yang tidak dipersetujui ialah Malaysia sebagai negara Islam tidak sepatutnya mengeluarkan arak jenama sendiri.
“Kebodohan apakah ini? arak dan penuh jual kat negara ni kan? Sekarang ni isunya bukan kita mintak bann tak jual terus (which lagi bagus).
“Just tak setuju Malaysia keluarkan jenama arak sendiri, siap guna nama arak yang mengelirukan dan ia diluluskan pemimpin Islam, thats the isu,” tulisnya dalam tangkap layar berkenaan.
Menerusi hantaran sama, Syamsul berkata, sekurang-kurangnya sebagai umat Islam, beliau sudah menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan.
“Ntahlah jang… abg jahil. Takpelah. Yang penting abang dak cakap, kawtim. At the end of tje day kita semua hadap destinasi yang sama,” tulisnya.
Hantaran berkenaan mendapat reaksi pelbagai daripada pengikut instagramnya termasuk pendakwah bebas, Syamsul Debat yang menyifatkan isu itu timbul berikutan kegagalan pihak tertentu mendahulukan perkara yang penting.
“Kegagalan mereka ini mementingkan perkara yang penting… serta memahami perkara yang pokok, osah ea lahai… doakanlah diaorang ni,” tulis Syamsuldebatofficial.
Sebelum ini, kerajaan menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama tempatan iaitu ‘Timah’ sebagaimana tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.
Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan.
Baru-baru ini, selepas diasak pelbagai pihak akhirnya syarikat pengeluar minuman arak jenama ‘Timah’, Winepak Corporation (M) Sdn Bhd bersetuju mempertimbangkan untuk menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.
Perkara itu dimaklumkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Isu arak mengguna pakai jenama ‘Timah’ menimbulkan kontroversi kerana didakwa tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini. – Malaysiapost

