Hashim Jasin kekal Mursyidul Am PAS

0
2

MAJLIS Syura Ulamak PAS sebulat suara memilih dan memperbaharui pelantikan Datuk Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am PAS berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan itu adalah untuk tempoh lima tahun sebagaimana peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 8 (6).

Menurutnya keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Syura Ulamak di Pejabat Agung PAS Pusat di ibu negara semalam.

Mesyuarat itu turut membincangkan penggunaan lambang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dari sudut Siyaasah Syar’iyyah dengan menekankan kepentingan perundingan pertandingan dua penjuru agar kemenangan tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“Majlis Syura Ulamak juga melihat aspek ini dalam kerangka perkara ‘mutaghyyirat’ (boleh berubah) dan bukannya ‘thawabit’ (yang tetap). Ia perlu disesuaikan dengan taktikal dan strategi parti.

“Justeru Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk membuat keputusan berdasarkan strategi kebolehmenangan bersama yang terbaik, selaras peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 84,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Majlis Syura Ulamak menetapkan perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ke Muktamar Tahunan PAS Kali ke-67 pada 6 dan 7 November nanti adalah berstatus pemerhati.

Menurutnya, Pemilihan Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat untuk sesi 2021/2023 pula akan diadakan seberapa segera dengan merujuk kepada Aturan dan Peraturan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Hal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 87 (2) dan Fasal 91 (1).

“Majlis Syura Ulamak juga telah meluluskan kelayakan untuk calon-calon Pilihan raya Negeri Melaka bagi tindakan selanjutnya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 26(9)(f),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here