Amanah perlu yakinkan bagaimana PH boleh menang jika bergabung dengan ‘katak politik’

0
1

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi Amanah Melaka Adly Zahari perlu meyakinkan bagaimana dengan bergabung bersama ‘katak-katak politik’ boleh memberi kemenangan buat Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata Mohamad dan Adly perlu meyakinkan pendokong PH seperti yang telah dihujahkan dalam mesyuarat PH.

“Ini hujah kuat berdegar-degar dalam mesyuarat PH, tapi tidak cukup kuat berdegar-degar di luar.

“Kalau saya, kena sekali cukuplah. Sampai mati saya takkan lupa pengajaran itu sebab kalau kena dua tiga kali atas kesilapan sama, namanya ‘kurang cerdik’,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Rafizi mengimbas, ketika permohonan Bersatu masuk PH pada 2016, beliau dan pemimpin PKR menegaskan menerima parti itu sebagai sekutu pilihan raya sahaja.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu pemimpin Amanah dan DAP berkeras mahukan Bersatu sebagai anggota PH dengan alasan PKR tidak kuat dan berpecah.

“Pada satu ketika, kata dua diberikan kalau PKR tetap berkeras, wajarlah PKR tidak lagi bersama PH kerana Amanah dan DAP sudah buat keputusan menerima Bersatu.

“Demi mengekalkan PH, kami terpaksa bersetuju dengan syarat ada perjanjian ketat.

“Sekarang alasan yang sama digunakan pimpinan Amanah, konon Idris Harun dan lain-lain akan bawa lonjakan di Melaka,” katanya.

Semalam, PH memaklumkan masih terbuka untuk bekerjasama dengan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan dan Datuk Noor Effandi Ahmad pada PRN Melaka akan datang.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga mereka tidak terlibat dengan ‘Langkah Sheraton’ yang bertujuan menumbangkan kerajaan PH tahun lalu.

Sebaliknya, Anwar berkata, mereka kini mahu mengembalikan mandat yang diberikan pengundi kepada PH. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here