Tiada tapisan CTOS, CCRIS kepada pemohon pembiayaan PKSM – Noh

0
2

KERAJAAN kini mengenepikan tapisan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dalam permohonan pembiayaan Perusahaan Kecil, Sederhana dan Mikro (PKSM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Noh Omar berkata ia bagi memudahkan pembiayaan tersebut sampai kepada golongan memerlukan.

Beliau menjawab kenyataan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan yang menyarankan (MEDAC) melonggarkan syarat dan birokrasi ditetapkan dalam pemberian pembiayaan PKSM.

“Terima Kasih saudara Shahril Hamdan. Umno sememangnya begini. Begitu cepat cakna dengan permasalahan rakyat.

“Saya telah memulakan insentif yang saya sebut sebagai memudahkan pembiayaan kepada PMKS dengan mengenepikan tapisan CCTOS dan CCRIS untuk pembiayaan yang menggunakan dana kerajaan.

“Dalam masa sama satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi memastikan Bajet 2022 akan sampai kepada golongan sasar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini Shahril dilaporkan berkata berdasarkan Bajet 2022 dibentangkan Jumaat lalu, ia menjadi petunjuk mengenai isu pengangguran dan masalah kewangan dihadapi PKSM.

Sehubungan itu beliau berharap syarat dan birokrasi dilonggarkan khususnya dalam pembiayaan PMKS dari institusi kewangan pembangunan (DFI) dan dari agensi kerajaan supaya banyak PMKS mendapat manfaat segera

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 berkata, sejumlah RM14.2 bilion dana tersedia untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Institusi kewangan turut menyediakan dana untuk PKS selain satu inisiatif khusus untuk membantu syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga akan diperkenalkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here