KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan 24.45 juta bersamaan 74.9 peratus penduduk negara ini sudah lengkap vaksinasi Covid-19.
Berdasarkan data portal COVIDNOW, daripada jumlah itu 95.5 peratus atau 22.36 juta golongan dewasa lengkap menerima dua dos vaksin.
Manakala 97.7 peratus atau 22.87 juta sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Sementara, bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 83 peratus atau lebih 2.61 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan 66.4 peratus atau lebih 2 juta pula sudah lengkap dua dos.
Setakat semalam, hanya sekitar 2.3 peratus daripada 23.4 juta penduduk dewasa masih belum divaksinasi, manakala kalangan remaja pula melibatkan sejumlah 17 peratus daripada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Hanya dua negeri masih mencatat jumlah penduduk dewasa lengkap divaksinasi di bawah 80 peratus, iaitu Kelantan (79.1 peratus) dan Sabah (73.2 peratus), manakala lapan negeri dan wilayah sudah merekodkan lebih 90 peratus. – Malaysiapost

