SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan agar ketetapan bilangan jemaah untuk solat Jumaat bagi masjid dan surau dengan kebenaran Solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.
Menurut satu hantaran di Facebook Selangor Royal Official, baginda bertitah demikian setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit bagi negeri itu.
“Justeru itu, sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.
“Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.
“Masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara Masjid Pengurusan, antara 400 hingga 700 jemaah.
“Pertimbangan dan keputusan ini diambil setelah Baginda meneliti data-data terbaharu tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Mengikut statistik, sehingga 27 Oktober 2021, jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, dengan kelonggaran terbaharu ini, Sultan Selangor tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di dalam masjid.
“Dalam masa sama, Baginda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 ini. Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.
“Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif Covid-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, baginda menzahirkan rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi ‘lockdown’ seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.
“Untuk itu, Baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah S.W.T. agar Negeri dan Negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka,” katanya. Malaysiapost

