JALAN Bukit Bintang berhampiran Pavilion Kuala Lumpur antara lokasi cukup ‘happening’ di ibu negara terutama pada malam minggu.
Selain tumpuan pelancong, kawasan tersebut juga sering menjadi lokasi untuk warga kota bersantai serta ‘cuci mata’.
Susulan itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta pandangan pengikut Facebooknya adakah wajar jalan berkenaan ditutup kepada sebarang kenderaan seminggu sekali untuk membolehkan warga kota bersantai.
“Saya nak mohon pandangan semua, ok tak kalau seminggu sekali contohnya kita tutup jalan ni dari sebarang kenderaan? Dari 6 petang hingga 12 malam.
“Jadi warga kota dan para pelancong boleh siar-siar di sini sambil layan muzik ringan dan bergambar sekitar kawasan tersebut.
Nak tunjuk suasana malam ibu kota. Ada buskers, pengcahayaan yang menarik dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut berkongsi gambar-gambar suasana malam di sekitar Pavilion Kuala Lumpur.
Jalaluddin berkata, kawasan tersebut juga boleh dijadikan satu lg produk pelancongan dan aktiviti malam baharu di kota raya.
“Boleh kongsi dengan saya apa pandangan anda semua. Saya sedia menerima sebarang pandangan membina.
“Cuma tulis di ruangan komen, saya akan baca satu persatu,” katanya. – Malaysiapost

