PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyerahkan surat setuju terima dana kandungan digital mikro prisma outreach di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Penyerahannya disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Unit Komunikasi Korporat Finas dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan majlis tersebut merupakan kesinambungan Program Komuniti@FINAS (KoFi) yang telah diadakan pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Katanya, ia merupakan satu inisiatif KKMM dan FINAS berkonsepkan libat sama masyarakat dan komuniti belia setempat dengan sektor industri kreatif menerusi program-program pembangunan modal insan industri kreatif.
“Program KoFi Ketereh, Kelantan yang dilaksanakan selama dua hari ini melibatkan tiga komponen utama iaitu Bengkel Pembangunan Modal Insan Industri Kreatif, Sesi Pitching Dana Mikro PRISMA, serta Program Keluarga Malaysia FINAS yang memanfaatkan komuniti setempat dan masyarakat sekitarnya sekali gus menggambarkan usaha pembangunan modal insan industri kreatif di negara ini tiada batas sempadan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, menerusi komponen pertama, Bengkel Teknik Lakonan serta Bengkel Videografi Youtube yang diadakan, telah melibatkan 53 orang peserta dalam kalangan komuniti di Ketereh, Kelantan.
“Mereka juga berpeluang untuk menyertai Sesi Pitching Dana Mikro PRISMA melibatkan penyediaan peruntukan sejumlah RM390,000 di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) bagi menghasilkan 39 buah projek kandungan kreatif,” katanya.
Menurut kenyataan itu, program KoFi ini juga membuka ruang komersial bagi mengetengahkan keunikan dan signifikan “Cultural Community dengan penceritaan mengenai keunikan negeri Kelantan yang merangkumi seni budaya, warisan serta kulinari setempat.
Selain itu, katanya, ia membuka peluang ekonomi setempat terutamanya aktiviti pelancongan seni budaya di Ketereh dan negeri Kelantan.
Dalam pada itu, Annuar Musa turut berkesempatan menyantuni penggiat industri kreatif di sekitar Kota Baru, Kelantan menerusi Program Keluarga Malaysia FINAS yang berkonsepkan sesi ziarah kasih.
“Beliau menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 serta bantuan bakul makanan kepada 20 penerima dalam kalangan penggiat industri kreatif dan seni yang memerlukan khususnya golongan veteran yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus pendapatan akibat penularan wabak pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

