Perlu agih Bajet 2022 dengan berkesan, telus dan segera. – Tok Mat

0
2

BAJET 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Negara, semalam disifatkan sebagai belanjawan inklusif dan berkebajikan, kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, pelbagai bantuan spesifik ditawar untuk memastikan tiada golongan yang tercicir termasuk anak yatim akibat Covid-19 dan isu kesihatan mental dan ia menunjukkan kerajaan memandang semua dengan ihsan dan tanggungjawab

“Secara keseluruhannya Bajet 2022 adalah bajet mengembang, untuk terus memacu pemulihan daripada dwi-krisis mencakupi aspek kesihatan dan ekonomi

“Oleh kerana Bajet ini akan menyaksikan kerajaan berbelanja dengan banyak, maka strategi konsolidasi fiskal jangka panjang mesti segera difikirkan.

“Usaha memperluaskan asas cukai seperti memperkenalkan penggunaan nombor pengenalan cukai (atau TIN) amatlah bertepatan,” katanya di Twitter, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai pendapatan dan perniagaan yang tidak atau gagal diisytiharkan, wajar diperkenalkan bagi membantu kedudukan fiskal negara.

“Usaha mempelbagaikan sumber hasil negara amatlah penting kerana Malaysia tidak boleh lagi bergantung dengan hasil berasaskan petroleum. Ia diunjurkan akan menyumbang hanya 18.8 peratus daripada jumlah hasil tahun.

“Ketidaktentuan harga minyak global akan menjejaskan hasil pendapatan negara lalu membahayakan kemampanan fiskal keseluruhan,” katanya.

Mohamad berkata, Bajet 2022 juga perlu sehaluan dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memacu pertumbuhan pantas ekonomi negara.

“Bajet 2022 wajar memperincikan pelaksanaan segera pelbagai projek RMK-12 sebagai impetus ekonomi yang boleh merancakkan kebangkitan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan fokus dalam Bajet 2022 dalam mengembalikan simpanan masa persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebanyak 46 peratus ahli yang berusia di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka. Apa akan terjadi kepada golongan paling terkesan ini semasa persaraan nanti?

“Kesejahteraan semasa persaraan adalah isu nasional yang jika tidak ditangani, akan membebankan kerajaan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, beliau berpendapat kerajaan mesti memastikan Bajet 2022 yang diumumkan diagihkan dengan berkesan, telus dan segera.

“Pengagihan yang kemas dan segera akan merancak ekonomi negara dan menyokong pertumbuhan jangka panjang

“Hanya dengan cara sedemikian kita mampu membina semula daya ketahanan rakyat dan negara bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here