KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil berharap PAS dapat membuat keputusan yang bijak bagi pemilihan ‘rakan’ untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.
Beliau berkata, Umno sebagai rakan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) tidak mahu melihat parti itu terperangkap dengan agenda Bersatu.
Katanya, beliau percaya ada sebab Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta PAS menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dan bukan logo sendiri.
“Pada PRU14, PAS telah mendapat lebih kurang 15 peratus undi Melayu di Melaka. Oleh kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan (PH) pula telah mendapat 20 peratus undi Melayu, bertambah 10 peratus daripada undi Melayu yang diperoleh PH berbanding pilihanraya-pilihanraya sebelum ini di Melaka.
“Manakala, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah mendapat 65 peratus undi Melayu di Melaka pada PRU14. PH (dan Bersatu) telah menang kerana mereka telah memecahkan 10 peratus undi Melayu, dan dengan sokongan solid hampir semua undi bukan Melayu terutama undi Cina mereka berjaya mengalahkan Barisan Nasional.
“Jadi, kebanyakan daripada 10 peratus undi Melayu yang dipecahkan oleh Bersatu/PH di atas adalah asalnya pengundi Barisan Nasional (BN); dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini BN telah mendapat lebih kurang 70-75 peratus undi Melayu di Melaka berbanding 65 peratus semasa PRU14,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Isham berkata, untuk kali ini, Bersatu ingin menggunakan formula yang sama, iaitu dengan sekali lagi memecahkan sekurang-kurangnya 10 peratus undi Melayu tersebut daripada BN supaya parti berkenaan tidak boleh menang pilihanraya walaupun ia bermaksud PH kembali berkuasa.
“Namun kali ini mereka (Bersatu) tentunya tahu kebarangkaliannya mereka tidak boleh menang apa-apa kerusi hanya dengan memecahkan 10 peratus undi Melayu tersebut.
“Dan kali ini belum tentu mereka akan dapat kembali 10 peratus undi Melayu yang mereka pecahkan dahulu dan besar kebarangkalian mereka akan hilang undi ini sebab Dr Mahathir tidak lagi bersama mereka (Bersatu) dan mereka tidak ada akar umbi untuk meraih 10 peratus pengundi Melayu ini lagi,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kerana itu, kini Bersatu memerlukan PAS untuk menarik 15 peratus undi Melayu dari PAS dan menjadi akar umbi Bersatu.
“Dan kali ini cita-cita mereka (Bersatu) adalah lebih besar lagi, mereka (Bersatu) juga mahu cuba menang beberapa kerusi waima dua atau tiga kerusi supaya mereka boleh jadi penentu atau “kingmaker” jika tiada mana-mana parti mendapat majoriti kelak,” katanya.
Namun, beliau berkata, walaupun pemecahan 15 peratus undi Melayu tersebut mungkin boleh menggugat kemenangan BN pada PRN Melaka, dan begitu juga Bersatu atau PAS.
“Ini terbukti apabila dengan 15 peratus undi Melayu pada PRU-14 yang lepas pun PAS tidak menang apa-apa kerusi di Melaka, manakala Bersatu hanya menang dua kerusi, itupun dengan sokongan undi bukan Melayu terutama undi Cina dengan bantuan PH, tetapi kali ini pengundi Cina PH tidak akan bantu mereka lagi.
“Untuk mereka (Bersatu) menang apa-apa kerusi dengan hanya sokongan 15 peratus undi Melayu dari PAS, mereka tahu mereka perlukan sokongan dari undi Cina dan India.
“Namun mereka juga tentunya tahu bahawa pengundi-pengundi Cina dan India tidak akan sokong PAS, terutama apabila mereka nampak bendera PAS bersama Bersatu dalam PN.
“Mereka tentunya telah fikir yang lambang bulan PAS di atas kertas undi hanya akan menakut-nakutkan pengundi Cina, India dan bukan Islam oleh itu akan mengecilkan peluang mereka untuk meraih undi bukan Melayu dan menang apa-apa kerusi,” katanya.
Maka, beliau berkata, untuk menyelesaikan masalah berkenaan, Bersatu sudah tentunya telah buat keputusan dan mengarahkan PAS supaya menggunakan lambang dan logo PN sekali gus meninggalkan bendera dan lambang tradisi PAS iaitu bulan dalam pilihan raya ini.
“Ia sama seperti apabila PH menggunakan lambang PKR dalam PRU14 supaya pengundi Melayu tidak nampak lambang roket DAP.
Beliau berkata, PAS masih belum terlambat untuk membuat keputusan yang baik dan bijak.
“Sebab itu kita cadangkan supaya PAS guna sahaja bendera dan lambang tradisi mereka iaitu lambang bulan yang berpuluh tahun lamanya dikibarkan dalam perjuangan mereka daripada disimpan sahaja dalam almari.
“Sekurang-kurangnya dengan menggunakan lambang dan bendera sendiri ini mereka (PAS) akan meningkatkan kebarangkalian untuk mengekalkan jumlah pengundi Melayu yang mengundi mereka dahulu dengan lebih bermaruah,” katanya. – Malaysiapost

