‘Umno, Bersatu perlu menginsafi penting perpaduan Islam’ – PAS

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10211205407729382&set=pb.1783986082.-2207520000..&type=3

PAS tetap konsisten mengajak Umno dan Bersatu serta pemegang taruh yang lain untuk menginsafi peri pentingnya memupuk perpaduan dalam Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata selain itu pihaknya juga memainkan peranan yang besar sebagai ejen keharmonian kaum bagi menghubungkan PAS dengan parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam.

“PAS tetap konsisten melapangkan dada mengajak Umno dan Bersatu serta pemegang taruh yang lain seperti NGO dan NGI Islammenerima prinsip perpaduan ini.

“Justeru, Pemuda PAS mesti terus mempertahan misi ini dan bersedia #MemacuPERPADUAN dalam ruang yang lebih luas lagi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62 hari ini.

Beliau berkata, dasar PAS jelas ialah Islam dan seruan PAS ialah ‘Allahu Akbar, malah perjuangan parti itu tidak apologetik dan pragmatik.

“Prinsip dan pendekatan PAS disuluh daripada cahaya al-Quran dan as-Sunnah. Keabsahan perjuangan PAS tidak wajar dikompromi dengan kepentingan sempit dan tidak menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucaptama itu juga, Khairil Nizam berkata, pihaknya menzahirkan rasa kesal dengan pendedahan dalam Kertas Pandora.

“Pemilikan kekayaan luar biasa segelintir kapitalis yang memiliki akaun luar persisir dan culas menjalankan tanggungjawab membayar cukai kepada negara masing-masing.

“Dianggarkan lebih kurang RM40 trilion nilai cukai yang digelapkan di seluruh dunia. Orang kaya bertambah kaya, orang miskin melarat melata,” katanya.

Justeru, katanya, Pemuda PAS tidak akan berkompromi terhadap apa jua jenayah kewangan sama ada rasuah, korupsi, penggubahan wang haram dan aktiviti ekonomi hitam.

“Malah, lebih menjengkelkan timbunan wang ringgit ini dijadikan candu memperalatkan orang politik,” katanya.

Menyentuh mengenai Undi18, beliau berkata, pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun merupakan ‘game changer’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sekretariat Pengundi Muda (SPM) yang menggabungkan Dewan Pemuda PAS Dewan Muslimat PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS Pusat bertanggungjawab merangka dan melaksanakan inisiatif #Undi18.

“Tindakan ini turut akan dilakukan oleh rakan-rakan komponen Pemuda Perikatan Nasional.

“Kita juga harus mengkaji dengan teliti politik identiti golongan #Undi18 agar tawaran yang diberikan tepat dan betul,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Khairil Nizam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here