BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menggambarkan dirinya kini seolah-olah sentiasa dalam pemantauan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, terbaharu pegawai-pegawai berkenaan turut ‘memantau’ ketika beliau bersarapan di satu lokasi hari ini.
“Bagus Kementerian Kesihatan. Saya datang makan ‘breakfast’. Ada penguatkuasa ‘standby’ pantau, bisik tanya dah scan MySejahtera belum?
“Orait. Boleh boleh. Mereka menjalankan tugas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ke mana-mana pun kita kena pastikan kita ikut SOP. Jom breakfast sekali,” katanya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan pada 24 Oktober lalu, mengumumkan larangan penganjuran sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya berkuatkuasa 25 Oktober hingga 27 November ini.
Terdahulu Netizen mengecam satu majlis perjumpaan Wanita Umno yang dihadiri Najib di Melaka yang didakwa tidak mematuhi SOP termasuk tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka dengan betul. – Malaysiapost

