Belanjawan 2022: KPLB yakin laksana banyak projek pembangunan untuk rakyat luar bandar

0
2

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yakin dapat melaksanakan lebih banyak projek luar bandar pada tahun hadapan berikutan menerima peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2022 berbanding tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan besar itu bukan sahaja dapat melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar, malah membantu membangunkan ekonomi dan modal insan rakyat.

“Jumlah ini meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan juga RM7.01 bilion pembangunan. Jumlah ini adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi daripada 2021.

“Ia dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahdzir juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyediakan peruntukan berjumlah RM10.53 bilion kepada KPLB.

“Di bawah peruntukan pembangunan, sejumlah RM2.43 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa.

“Jumlah ini adalah RM112.1 juta atau 4.81 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan peruntukan tahun 2021,” katanya.

Beliau menambah, dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15.3 juta untuk aktiviti keusahawanan luar bandar.

Katanya, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 4.3 juta atau 39 peratus daripada peruntukan tahun 2021.

“Selain itu, bagi meningkatkan taraf kesejahteraan penduduk luar bandar, sebanyak RM384.1 juta telah diperuntukkan untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), di mana jumlah ini merupakan peningkatan RM9.1 juta atau 2.4 peratus daripada peruntukan tahun 2021.

“KPLB mengalu-alukan peruntukan bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan yang turut memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk belia dan wanita,” katanya.

Pada masa sama, Mahdzir menghargai kerajaan kerana tidak melupakan pembangunan Orang Asli dalam Belanjawan 2022.

“Selaras dengan konsep kebersamaan Keluarga Malaysia, pembangunan Orang Asli tidak dipinggirkan, di mana sebanyak RM274 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Ini meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan untuk memperkasa komuniti Orang Asli. Dalam hal ini, kadar wang saku murid Orang Asli di sekolah menengah dinaikkan daripada RM2 kepada RM4 sehari,” – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here