
KEMUNGKINAN sekadar ingin berjenaka dengan perkembangan politik terkini melanda PAS, Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan sesuatu yang mencuit perhatian pemerhati politik mahu pun netizen.
Menerusi hantaran di Facebook, Tuan Ibrahim mencadangkan idea menggunakan logo PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai jalan terbaik menyelesaikan masalah yang melanda ketika ini.
Ini kerana PAS menjadi rebutan antara Bersatu dan Umno untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
“Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan PAS, elok kalau kita gunakan satu logo iaitu logo PAS dalam PRN Melaka nanti. Fikir-fikirkan,” katanya di Facebook, hari ini.
Sebagai parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN), PAS kian tersepit kerana parti itu juga memiliki hubungan baik dengan Umno menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).
Meskipun ketiga-tiga parti adalah parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan Ogos lalu, namun ia tidak berjaya menyatukan mereka dalam menghadapi PRN Melaka kali ini.
Umno menerusi ketetapan pada Perhimpunan Agung Umno 2020 telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya yang bakal diadakan.
Sebelum ini, PAS memberi jaminan tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi Umno dan Bersatu pada PRN Melaka.
Semalam, Umno memutuskan untuk terus bekerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka selari dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam Mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November lalu berdasarkan PAS menggunakan lambang partinya sendiri. – Malaysiapost
