Kerajaan akan terus mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara dalam persediaan kita ke fasa endemik COVID-19.
BAJET 2022 menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata sebagai Kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat, peruntukan bagi KKM adalah yang kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.
“Peperangan kita dengan pandemik Covid-19 ini masih belum berakhir. Oleh itu, tambahan RM4 bilion disediakan khusus untuk meneruskan agenda menanganinya 19 yang merangkumi RM2 bilion bagi membiayai program vaksinasi.
“Manakala RM2 bilion lagi disediakan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan.
“Dalam semangat Keluarga Malaysia, KKM juga telah menyumber luar ke hospital swasta dan hospital seliaan kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 hari ini.
Tengku Zafrul berkata bagi terus menang dalam melawan Covid-19, kerajaan bercadang melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk Covid-19. – Malaysiapost

