Mampukah Bajet 2022 pulihkan negara? Kit Siang

0
2

BAJET 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dijangka menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah negara, namun timbul persoalan adakah ia bakal memulihkan kembali kehidupan rakyat.

Veteran DAP Lim Kit Siang, berkata persoalan itu timbul susulan kegagalan Bajet 2021 membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi negara yang teruk terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, belanjawan tahun lalu yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan peruntukan RM322 bilon adalah yang terbesar setakat ini.

“Semasa belanjawan 2021 dibentangkan oleh Tengku Zafrul di bawah kerajaan Muhyiddin pada 6 November 2020, negara merekodkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 38,189 dengan 279 kematian.

“Semalam, jumlah tersebut masing-masing meningkat kepada 2,454,719 dan 28,769 iaitu peningkatan lebih 64 kali ganda untuk kes Covid-19 dan lebih 103 kali ganda untuk kes kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semasa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan, pada 13 September lalu, terdapat 1,995,772 kes terkumpul dengan 21,124 kematian.

“Ini bermakna, di antara pembentangan Bajet 2021 pada 6 November dan MoU pada 13 September 2021, berlaku peningkatan kira-kira 50 peratus jumlah keseluruhan kes Covid-19 dan peningkatan kira-kira 75 peratus untuk kes kematian

“Sementara untuk tempoh 45 hari antara MoU ditandatangani dan pembentangan Bajet 2022 pula, berlaku peningkatan sebanyak 1.2 peratus dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 dan peningkatan sebanyak 1.4 peratus kematian.

“Ini adalah satu sebab mengapa MoU diperlukan, untuk mengurangkan peningkatan mendadak kes Covid-19 dan untuk menurunkan angka kematian akibat wabak itu dari lebih 400 sehari ke bawah paras 100 kematian sehari,” katanya.

Kit Siang berkata, Bajet 2022 ini akan menjadi ujian sama ada dapat menurunkan jumlah kes harian dan kematian akibat Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here