Abdul Hadi, Tuan Ibrahim kekal Presiden, Timbalan Presiden PAS

0
2
https://www.facebook.com/146911248727335/photos/pb.100044222510324.-2207520000../4305409722877446/?type=3

JAWATAN Presiden PAS tidak dicabar mana-mana pemimpin lain bagi pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan Pas ke-67 yang akan diadakan pada bulan depan.

Ia sekali gus menyaksikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal memegang jawatan itu bagi sesi 2021-2023.

Pada masa sama, jawatan Timbalan Presiden turut kekal disandang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga tidak dipertandingkan.

Abdul Hadi menerajui parti itu sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor, manakala Tuan Ibrahim menjawat jawatan nombor dua parti sejak 2015.

Memetik laporan Harakah Daily, bagi sesi pemilihan kali ini, PAS menerima jumlah borang pencalonan sebanyak 159 daripada 197 kawasan dengan satu borang ditolak.

Bagi calon Naib Presiden pula, lima nama dicalonkan iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan seorang lagi penyandang jawatan sekarang, Mohd Amar Nik Abdullah.

Dilaporkan, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki bakal mencabar jawatan naib presiden itu.

Namun, Muhammad Sanusi hari ini memaklumkan tidak bertanding jawatan Naib Presiden pada muktamar kali ini.

Senarai 43 calon akan bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat antaranya, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali Attakiri dan anggota Kabinet kerajaan sekarang iaitu Datuk Amzad Hashim, Datuk Marzuk Shaari, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusof.

Muktamar Tahunan PAS ke-67 akan diadakan pada 6 dan 7 November ini di Kuala Terengganu secara hibrid. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Abdul Hadi Awang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here