PAS dijangka akan memuktamadkan keputusan berhubung persefahaman politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diumumkan Umno malam tadi, Ahad ini.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata pihaknya masih menunggu keputusan PAS Pusat mengenai pendirian Umno yang mahu meneruskan persefahaman dengan parti itu dalam PRN Melaka.
“Kami perlu tunggu respon daripada PAS Pusat, tunggu sahaja Ahad ini,” katanya memetik portal Melaka Hari Ini (MHI).
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Umno di atas keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, malam tadi.
“Pada dasarnya, PAS Melaka ucapkan terima kasih dengan perkembangan terbaharu itu,” katanya.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS dalam menghadapi PRN Melaka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).
“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa parti itu menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam Mesyuarat pada 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.
“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Ustaz Kamarudin Haji Sidek

