Tidak perlu mohon dos penggalak – KJ

0
1
vaksin uitm

ORANG ramai yang sudah lengkap divaksinasi tidak perlu membuat permohonan bagi mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, kerana akan layak mendapatkannya berdasarkan selang masa yang disyorkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, penerima akan dimaklumkan mengenai janji temu pemberian dos penggalak itu melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, pemberian dos penggalak itu akan dibuat di hospital dan klinik kerajaan atau swasta.

“Untuk penerima Pfizer selang masa dos penggalak yang disyorkan bagi vaksin jenis sama atau dos ketiga Pfizer adalah selepas enam bulan dos kedua anda.

“Bagi penerima Sinovac, anda akan disyorkan dos penggalak Pfizer tiga bulan selepas dos kedua anda.

“Pemberian dos penggalak sudah dimulakan dengan petugas barisan hadapan dan warga emas,” katanya di laman Twitternya, hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, ramai yang menyuarakan tentang kaedah pemberian campuran vaksin atau heterolog bagi dos penggalak.

“Jawatankuasa pakar kami di bawah Dr Kalai Peariasamy telah mengesyorkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk meneruskan vaksinasi heterolog.

“Bagi menyakinkan semua mengenai dos penggalak secara heterolog, saya adalah penerima Sinovac. Sebelum saya menghadiri mesyuarat WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), saya telah menerima suntikan penggalak Pfizer.

“Jadi saya kini #TeamSSP! Semua selamat, semuanya baik. #LindungDiriLindungSemua,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan mengumumkan mengenai pemberian suntikan dos penggalak kepada penerima vaksin jenis AstraZeneca (AZ) dalam masa terdekat.

“Pengumuman turut membabitkan pilihan jenis vaksin lain untuk pemberian dos penggalak. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai alahan dan tidak boleh mengambil Pfizer boleh menerima Sinovac atau AZ untuk dos penggalak mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dos penggalak tidak diwajibkan ketika ini bagi mereka yang telah lengkap menerima dua dos, namun ia sangat disyorkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here