Mat Sabu puji Husam, akan terus berganding majukan Amanah

0
3

Nilam Oshman

PRESIDEN Parti Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa berfikiran luas, strategik dan sentiasa fokus dengan gerak kerjanya.

Mohamad berkata, apabila Husam berhasrat melepaskan jawatan, kepimpinan Amanah mencadangkan beliau diberi peranan lebih besar.

Maka, katanya, Husam dicadangkan sebagai penasihat tiga biro penting iaitu Pilihan Raya, Komunikasi dan Strategi Parti yang akan memimpin ke arah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Inilah tanggungjawab yang akan diserahkan kepada Husam bersesuaian dengan pengalaman dan kebolehan beliau.

“Saya dan beliau akan sentiasa berganding bahu untuk memajukan Amanah, mengeratkan hubungan dalam Pakatan Harapan dan memacu masa depan politik Malaysia dengan konsep Islam Rahmatal Lil Alamin,” katanya menerusi Facebook.

Bekas Menteri Pertahanan itu turut mengimbau zaman muda bersama Husam ketika bersama-sama dalam PAS.

“Kami sentiasa bertukar-tukar pandangan, berceramah sepentas dan merangka strategi PAS sehinggalah kami bersama di dalam Amanah,” katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad dilaporkan berkata mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu meluluskan permohonan Husam untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden.

Katanya, permohonan peletakan jawatan itu untuk membolehkan beliau memberi tumpuan kepada usaha memastikan kemenangan Amanah di Kelantan, khasnya di Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.

Beliau turut menafikan laporan yang mendakwa peletakan jawatan Husam disebabkan tidak berpuas hati dengan Mohamad Sabu atau mana-mana pimpinan parti. – Malaysiapost