Ragut rantai wanita, dua ditahan, dua masih diburu

0
2
Polis Di Raja Malaysia

DUA lelaki ditahan manakala dua lagi masih diburu polis selepas disyaki terlibat dalam kes cubaan ragut rantai leher seorang jurujual di belakang sebuah kedai di Jalan Tengku Kelana, Klang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 23 tahun sedang membersihkan kawasan di belakang kedainya.

“Namun, secara tiba-tiba, seorang lelaki telah datang ke arah mangsa dan cuba untuk meragut rantai emas milik mangsa tetapi tidak berjaya.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna maroon bersama tiga lagi lelaki tidak dikenali yang berada di dalam kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Shamsul Amar berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek berkenaan dan merampas kenderaan yang digunakan ketika kejadian.

“Dua daripada empat suspek itu ditahan di Banting pada jam 2 petang hingga 5 petang, semalam.

” Kami juga sedang giat mengesan dua lagi lelaki dikenali dengan nama ‘Paiyen’ dan ‘Kabilan’ bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Asisten Superintenden Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 serta mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Semalam sebuah video tular berdurasi 2 minit 50 saat memaparkan suspek cuba meragut rantai leher milik seorang wanita di belakang sebuah kedai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here