JAKIM nafi keluar siji halal bagi wang Kripto, Bitcoin, Forex

0
2

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan pihaknya tidak pernah menawarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi mana-mana produk kewangan berasaskan Wang Kripto, Bitcoin dan Forex.

JAKIM menerusi hantaran di Facebook Bahagian Hab Halal hari ini, menjelaskan sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan juga adalah palsu.

Sehubungan itu, JAKIM menasihati pengguna agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah dari pihak tidak bertanggungjawab.

“Pihak kami menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai status Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terhadap produk kewangan iaitu Wang Kripto, Bitcoin dan Forex.

“Untuk makluman, JAKIM tidak pernah menawarkan skim pensijilan halal bagi mana-mana produk kewangan. Sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan juga adalah palsu,” menurut kenyataan itu.

JAKIM berkata, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan penyalahgunaan SPHM, pengguna bolehlah mengemukakan aduan yang lengkap kepada jabatan itu.

“Pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

JAKIM berkata, orang ramai yang ingin mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM boleh melayari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Menurut JAKIM, semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal (http://www.smarthalal.com.my/faq.html) – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here