TINDAKAN seorang pengunjung luar negara yang enggan mengenakan pelitup muka ketika memasuki sebuah butik mewah di KLCC, Kuala Lumpur mendapat perhatian ramai pihak termasuk penyanyi terkenal, Datuk Hattan.
Dalam hantaran video di Instagramnya, Hattan meluahkan rasa kesal dan tidak berpuas hati dengan sikap wanita berkenaan yang didakwa tidak menghormati undang-undang negara ini.
Pelantun lagu ‘Bisa Bonar’ itu juga turut meminta warga asing berkenaan pulang ke negara asal sekirannya enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Ini satu saya nak bercakap, sekarang ni kita dah fasa keempat dan orang ramai dah boleh keluar. Saya tengok menderu (banyak) kereta.
“Namun, saya nampak banyak yang tidak berjaga (patuhi SOP), contohnya semalam satu Mat Salleh perempuan nak masuk dalam sebuah kedai (tapi) tak nak pakai pelitup muka,” katanya.
Menurut Hattan, sebagai pelancong asing, wanita berkenaan tidak boleh ‘besar kepala’ mendakwa negaranya tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka.
“Abah kau, ini negara Malaysia.. Kalau kau tak nak ikut undang-undang kau berambus la balik negeri kau. Negara kau memang tak payah pakai (pelitup muka). Dekat sini, undang-undang Malaysia kau kena ikut.
“Ini yang artis Malaysia bangga sangat tu kat sana (luar negara) tak payah pakai (pelitup muka),” katanya.
Dalam pada itu, Hattan menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes Covid-19 yang kini kembali mencecah angka 6,000.
Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk lebih bertanggungjawab serta terus mengamalkan SOP.
“Itu hari 4,000 lebih (kes harian Covid-19), lepas itu 5,000 lebih dan sekarang 6,000 lebih.
“Kita kenalah tolong patuh SOP, kena ambil sifat bertanggunjawab sebagai rakyat Malaysia. Faham ke tidak?,” soalnya.
Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan seorang wanita yang enggan memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah kedai barangan berjenama walaupun diarahkan seorang pekerja terlibat.
Perbuatan itu menyebabkan wanita tersebut berang kerana dihalang memasuki kedai berkenaan gara-gara tindakannya yang tidak memakai pelitup muka.
Hantaran itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pengurusan KLCC.
“Apabila berada di Rom, buatlah seperti orang Roman lakukan. Bila di Malaysia, sila pakai pelitup muka. Tanpa mengira peraturan di tempat lain,” katanya. – Malaysiapost

