KKM, SPR perlu dapatkan pandangan SOP hadapi PRN Melaka

0
2
Kredit: Twitter LKS

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mendapatkan pendapat semua pihak mengenai prosedur operasi standard (SOP) dalam objektif memenangi perang melawan wabak Covid-19.

Veteran DAP Lim Kit Siang, berkata perkara itu perlu untuk menyeimbangkan keputusan pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Beliau berkata, peningkatan kes Covid-19 dan kadar kematian yang direkodkan adalah satu perkara yang membimbangkan memandangkan negara sedang berada dalam proses pembukaan semula untuk menghidupkan ekonomi.

“SPR menetapkan 8 dan 20 November sebagai tarikh penamaan calon dan hari mengundi untuk PRN Melaka.

“Justeru, KKM dan SPR perlu mendapatkan pendapat semua pihak mengenai SOP yang dilaksanakan untuk menyeimbangkan pembukaan semula ekonomi, pelaksanaan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih, dan objektif memenangi perang melawan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dilantik sebagai Naib Presiden bagi Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 Mei tahun depan di Geneva, Switzerland.

Sehubungan itu, katanya, Khairy mempunyai masa setengah tahun untuk memulihkan imej negara yang dilihat sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan Covid-19.

“Amat membimbangkan apabila angka kes harian meningkat kepada 6,148 kes, membawa kepada sejumlah 2,448,372 kes dan kadar kematian akibat Covid-19 masih kekal tinggi.

“Setakat ini, Malaysia berada di tempat ke-20 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia dan kita adalah negara dengan populasi terkecil dalam senarai ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here