CALON Barisan Nasional (BN), Shahelmey Yahya menggariskan tiga fokus untuk Tanjung Keramat jika memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Shahelmey menggariskan usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat, mengoptimakan sumber manusia dan merancakkan aktiviti ekonomi serta perniagaan di kawasan berkenaan.
Misi itu, katanya, sejajar komitmennya mahu melihat penduduk Tanjung Keramat dapat menikmati hidup yang lebih berkualiti, di samping memiliki pekerjaan yang dapat menjamin kehidupan keluarga.
“Fokus ketiga, iaitu merancakkan ekonomi dan perniagaan supaya lebih banyak peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi dapat diwujudkan untuk manfaat rakyat di sini,” katanya ditemui ketika berkempen di pekan Putatan.
Tanjung Keramat ialah kerusi baharu dalam Parlimen Putatan dengan kawasannya merangkumi sekitar pekan Putatan sehingga ke Taman Pantai Lok Kawi, Papar.
Shahelmey yang menggalas misi Umno, berdepan saingan lima penjuru menentang calon Warisan Plus, Usno, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Kawasan berkenaan mempunyai 14,350 pemilih berdaftar dengan majoritinya adalah pengundi Bumiputera Islam.
Shahelmey berkata, walaupun berdepan saingan sengit, beliau yakin rakyat kawasan itu menyokongnya untuk menjadi wakil di DUN agar suara mereka dapat didengar dan diambil perhatian oleh kerajaan.
“Saya amat bersyukur dan menghargai kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan parti memilih saya sebagai calon di DUN Tanjung Keramat.
“Namun, bagi saya ini bukan untuk suka-suka, ia tugas yang amat serius. Jika diberi mandat, kita perlu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin, jika tidak rakyat akan hukum balik,” katanya.

