PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih mahu meneruskan agenda yang belum selesai sebagai misi utamanya untuk menang semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata banyak perancangan yang sudah diatur untuk kepentingan rakyat Klias sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 tetapi tergendala apabila DUN dibubarkan akhir Julai lalu.
Katanya, beliau akan meneruskan apa yang sudah dirancang sebelum ini jika rakyat Klias memilihnya semula.
“Pelbagai agenda, visi dan misi yang belum diselesaikan sebelum ini akan diteruskan sekiranya rakyat di kawasan Klias terus memberi kepercayaan kepada saya untuk terus berkhidmat.
“Sehubungan itu, saya berharap rakyat di Klias terus memilih saya untuk mempertahankan kerusi ini,” katanya.
Beliau dicalonkan semula di kerusi DUN Klias, kali ini atas tiket Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu dan beliau berdepan saingan enam penjuru menentang calon PKR, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Cinta Sabah (PCS), Usno dan seorang calon Bebas.
Isnin berkata, beliau belum puas untuk berkhidmat kepada rakyat di Klias, memandangkan baru kira-kira dua tahun menjadi wakil rakyat bagi kawasan itu.
“Saya akui selama kira-kira dua tahun ini memang saya belum berpuas hati dengan pembangunan di Klias dan sudah pasti jika rakyat memberi mandat untuk saya menjadi wakil mereka sekali lagi, visi misi yang belum selesai akan diteruskan,” katanya.
Mengenai cabaran pada PRN kali ini, Ketua Bersatu Bahagian Beaufort itu berkata beliau tidak bimbang berdepan dengan ramai calon kerana ia adalah selaras dengan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini. -Malaysiapost

