Guru rugi RM70,00 beli kucing baka Scottish dalam talian

0
2
https://unsplash.com/photos/E0PTC0VOivM

HASRAT seorang guru ingin memiliki kucing baka Scottish lebur selepas kerugian hampir RM70,000 kerana menjadi mangsa scammer yang menyamar sebagai penjual.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, kejadian berlaku pada jam 10.52 pagi 23 Oktober lalu.

Katanya, mangsa berusia 25 tahun itu ketika di rumah sedang melayari laman Facebook sebelum terlihat iklan penjualan haiwan peliharaan kucing baka Scottish di Indonesia.

Beliau berkata, mangsa berminat untuk membeli dan berurusan dengan penjual kucing tersebut di nombor telefon +62 895-3241-29741.

“Pengadu bersetuju untuk membeli seekor kucing dengan harga RM900 dan hanya perlu membayar separuh harga sahaja, selebihnya akan dibayar setelah pengadu mendapat kucing tersebut.

“Pada 23 Oktober, pengadu telah membuat pindahan wang berjumlah RM450 ke akaun Hong Leong Bank bernombor 33851035867 atas nama Tansiaupenga Siagian. Setelah pindahan dibuat, mangsa telah diberitahu bahawa kucing tersebut telah diposkan.

“Sepanjang proses pengeposan kucing tersebut, mangsa dikehendaki membuat beberapa bayaran sebagai prosedur. Bagaimanapun sehingga kini mangsa telah membuat sebanyak 14 transaksi berjumlah RM69,030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, mangsa juga telah memberikan gambar kad pengenalan dan alamat rumah kepada peniaga tersebut.

“Atas hal itu, mangsa datang ke balai polis membuat laporan kerana mengesyaki telah ditipu, malah bimbang dokumennya disalahgunakan,” katanya.

Jelas beliau, siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan. Foto oleh Omar Ram/Unsplash

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here