MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan anak Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam daripada sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret.
Pada 13 Jun 2020, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 2.05 pagi 5 Januari 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Sebelum ini media melaporkan pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Anak ketiga Presiden Amanah itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. – Malaysiapost

